Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) merupakan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah ditubuhkan pada 1 November 2007 dengan berkuatkuasanya Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta 679).
MQA merupakan agensi baru yang ditubuhkan dengan penggabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang mengawal kualiti program pengajian di IPTS dengan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi yang mengendalikan penilaian jaminan kualiti program di IPTA sebelum ini. Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT. MQA juga adalah pemegang amanah Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) yang merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi negara.
Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT yang terdiri daripada IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej Komuniti, dan IPT di bawah kementerian lain. Di bawah LAN dahulu, skop penilaian jaminan kualiti hanya tertumpu kepada IPTS sahaja.
Penubuhan MQA juga adalah atas rasional untuk mewujudkan dan melaksanakan perkara utama yang menjadi ciri penting menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai reputasi baik dalam pendidikan tinggi iaitu :
a. Menubuhkan sebuah badan jaminan kualiti yang seragam, adil dan telus (MQA)
b. Membangunkan Kerangka Kelayakan Kebangsaan sebagai rujukan semua kelayakan (MQF)
c. Mewujudkan pusat maklumat yang sahih dan dipercayai (Malaysian Qualifications Register, MQR).
Secara amnya, MQA masih menjalankan fungsi LAN sebelum ini khususnya dalam menjamin kualiti pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, MQA juga menjalankan pelbagai fungsi lain seperti berikut :
a. Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan Kelayakan di Malaysia;
b. Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
c. Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
d. Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan;
e. Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
f. Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)
MQF adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan kualiti yang dimiliki oleh kelayakan-kelayakan tersebut. MQF merupakan alat yang membangun dan mengklasifikasikan kelayakan berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui kebangsaan dan ditanda aras amalan antarabangsa yang menjelaskan tahap-tahap pembelajaran yang dicapai, hasil pembelajaran bidang pengajian dan sistem kredit yang berasaskan beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini diguna pakai bagi semua kelayakan yang dianugerah pemberi pendidikan tinggi yang diiktiraf. MQF menyatupadukan semua kelayakan negara.MQF juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubung kait kelayakan-kelayakan di dalamnya secara sistematik, yang membolehkan individu memajukan diri melalui pemindahan kredit dan pengakreditan pengalaman-pengalaman terkumpul (accreditation of prior experiential learning) dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.Dalam konteks jaminan kualiti negara, MQF merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi yang mana prinsip-prinsip umumnya harus dipatuhi oleh setiap program dan kelayakan yang ditawar dan dianugerah oleh pemberi pendidikan tinggi. Prinsip-prinsip umum MQF meliputi definisi kelayakan, sektor penganugerahan kelayakan, tahap kelayakan, hasil pembelajaran, kredit dan beban pembelajaran, profil dan laluan pendidikan tinggi bagi kemajuan indidvidu.
(Sumber: Agensi Kelayakan Malaysia)